Kajian Penilaian Modul Pendidikan kesihatan Reproduktif Dan Sosial (PKRS) Dalam Kalangan Pelatih PLKN

Muhammad Sapri, Noor Azlin and Ahmad, Norliza (2011) Kajian Penilaian Modul Pendidikan kesihatan Reproduktif Dan Sosial (PKRS) Dalam Kalangan Pelatih PLKN. [Research Report] (Unpublished)

Full text not available from this repository.

Abstract

Pengenalan Golongan remaja merupakan peneraju masa depan negara dan mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap keadaan sosial, ekonomi dan politik negara. Namun, dengan kehadiran pelbagai masalah sosial yang melanda remaja pada masa kini, adalah dikhuatiri akan menjejaskan masa depan mereka yang seterusnya merugikan negara. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) telah mengambil inisiatif dengan membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif Dan Sosial (PKRS) yang bertujuan untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap yang positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial. Di bawah program PKRS ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) adalah salah satu agensi yang melaksanakan program berkenaan. Selaras dengan pelaksanaan dasar ini, Majlis Latihan Khidmat Negara telah bersetuju dengan cadangan KPWKM supaya PKRS dilaksanakan di PLKN. Susulan dari itu, LPPKN telah melaksanakan satu Kajian Pra dan Pasca Ujian secara kepada pelatih untuk menilai tahap pengetahuan dan persepsi mengenai kesihatan reproduktif dan sosial sebelum dan selepas pengajaran modul PKRS ini dijalankan. Kajian ini juga bertujuan untuk mengkaji tingkahlaku seksual dan reproduktif pelatih. Metodologi Kajian ini telah dijalankan pada tahun 2011 secara keratan rentas terhadap Pelatih PLKN yang berumur 17 tahun ke atas di beberapa Kem Latihan Khidmat Negara terpilih di Malaysia menggunakan pensampelan rawak bebas. Jumlah sampel yang diperlukan adalah seramai 1,038 orang. Pengiraan saiz sampel ini adalah berdasarkan anggaran 31,200 pelatih PLKN yang diwajibkan menghadiri latihan dengan menggunakan Selang Keyakinan (95%), Margin Error (1.5%) dan Prevalens Melakukan Hubungan Seks Luar Nikah Kalangan Remaja (6.5%),(Naing L, 2006). Borang soal selidik dibangunkan mengikut keperluan dan objektif kajian. Satu per tiga dari soalan soal selidik ini diadaptasi dari kajian peringkat antarabangsa iaitu Youth Risk Surveillance Survey, 2011 tetapi disesuaikan mengikut objektif kajian dan budaya masyarakat di Malaysia. Kaedah pentaabiran soal selidik adalah secara self administered. Skop soal selidik merangkumi tiga (3) domain iaitu: Maklumat demografi, Pengetahuan dan sikap terhadap kesihatan reproduktif dan sosial dan Tingkahlaku seksual remaja. Ringkasan Penemuan Kajian Sebanyak 1,300 keping borang penilaian (pra dan pasca ujian) telah diedarkan semasa sesi pertama pengajaran modul dijalankan. Daripada jumlah tersebut, hanya 1,063 keping borang sahaja yang diterima untuk dianalisa. Setelah analisa awal dijalankan, didapati terdapat beberapa soalan yang tidak dijawab sepenuhnya oleh para responden. Oleh itu, analisis data akan berbeza mengikut jumlah peserta yang menjawab bagi setiap bahagian. Secara keseluruhannya, seramai 1,063 responden telah berjaya diliputi di 13 buah kem latihan di seluruh negara. Hasil analisa deskriptif menunjukkan, responden terdiri daripada 57.8% remaja lelaki dan 42.2% perempuan. Majoriti responden berumur dalam lingkungan 17 hingga 19 tahun (95.6%) dengan min umur sekitar 18 tahun. Berdasarkan komposisi etnik, 66.7% adalah Melayu, 15.3% Cina, 4.2% India dan 13.8% adalah lain-lain etnik termasuk Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Kebanyakan responden berpendidikan peringkat SPM (95.6%) dan belum berkahwin (99.6%). Dapatan keseluruhan kajian dapat dirumuskan seperti berikut : • Tahap pengetahuan responden mengenai kesihatan reproduktif dan seksual meningkat secara signifikan (p<0.05) selepas menjalani modul PKRS dengan peningkatan min skor pengetahuan sebanyak 7.04±2.2 (sebelum menjalani modul) kepada 9.17±2.1. Terdapat seramai 71.1% responden memperolehi skor sebanyak 9 daripada 12 item (75.0%) dan ke atas selepas menjalani modul. • Terdapat perubahan sikap yang signifikan (p<0.05) mengenai kesihatan reproduktif dan sosial selepas menjalani latihan PKRS. Ini secara tidak langsung menunjukkan modul PKRS ini berupaya membantu responden mengubah sikap ke arah yang lebih positif. • Seramai 10.4% responden mengaku pernah melakukan hubungan seks. Min umur pertama kali melakukan hubungan seks adalah sekitar 15 tahun. 45.5 peratus daripada mereka mengadakan hubungan seks dengan lebih dari seorang pasangan. • Hanya 2.1 peratus mengaku tertarik secara seksual terhadap sesama jantina dengan 18.2% daripada mereka ini mengaku pernah menjalinkan hubungan seks sesama jantina.

Item Type: Research Report
Keywords: kesihatan reproduktif, remaja, sosial remaja
Subjects: 300 Social sciences > 304 Factors affecting social behavior
Division/Agency/State: LPPKN - National Population and Family Development Board, Malaysia > Division of Reproductive Health
Deposited By: Mrs Nekmat Nily Waheeda
Deposited On: 04 Mar 2014 08:00
Last Modified: 04 Mar 2014 08:00
URI: http://familyrepository.lppkn.gov.my/id/eprint/363

Actions (login required)

View Item View Item