Kajian Perbandingan Penggunaan Tiga Jenis Rawatan Hormon FSH dalam kalangan pesakit Subfertiliti yang menjalani Prosedur Permanian Beradas di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara

Thiagarajan, Komathy and Shekh Abdullah, Cik Faezah and Abdul Razak, Abdul Ghafar and Mohd Yussof, Mohd Azizuddin and Mohd Hassan, Hamizah and Abu Hassan, Siti Anissah (2017) Kajian Perbandingan Penggunaan Tiga Jenis Rawatan Hormon FSH dalam kalangan pesakit Subfertiliti yang menjalani Prosedur Permanian Beradas di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. [Research Report]

[img]
Preview
PDF - Published Version
Download (90kB) | Preview

Abstract

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menyediakan perkhidmatan pengurusan masalah subfertiliti kepada orang awam, terutamanya golongan berpendapatan sederhana, sejak tahun 1979 lagi. Selari dengan kepesatan teknologi terkini dan perkembangan penyelidikan, terdapat pelbagai jenis ubat kesuburan berupa suntikan yang digunakan dalam rawatan subfertiliti. Fungsi utama suntikan ini adalah untuk mematangkan folikel yang mana hormon utama yang terkandung dalam suntikan ini adalah hormon perangsang folikel (Follicle Stimulating Hormone, FSH). Secara amnya, terdapat tiga jenis suntikan FSH, iaitu recombinant FSH (rFSH) yang merupakan 100 peratus hormon sintetik, urinary FSH (uFSH) yang diperolehi daripada urin menopausal dan highly purified urinary FSH (hp-uFSH) yang juga diperolehi daripada urin menopausal tetapi dalam keaadaan yang lebih tulen daripada uFSH. Ketiga-tiga hormon tersebut mempunyai aktiviti FSH tetapi uFSH dan hp-uFSH juga mempunyai aktiviti hormon pelutinan (Luteinising Hormone, LH). Justeru, LPPKN telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian perbandingan penggunaan tiga jenis rawatan hormon FSH, iaitu Gonal F (rFSH), folliova (uFSH) dan Menopur (hp-uFSH), dalam kalangan pesakit subfertiliti yang menjalani Teknik Permanian Beradas (intrauterine insemination, IUI). Antara lain, tiga jenis hormon tersebut dikaji dari segi keberkesanan dan beban kos. Sampel kajian adalah daripada pesakit dengan masalah subfertiliti yang tidak diketahui sebab dan hadir di Klinik Subfertiliti LPPKN, Ibu Pejabat, dari Jun 2010 hingga Mei 2012. kaedah persampelan adalah secara rawak. iaitu pesakit dan penyelidik tidak mengetahui regim rawatan yang akan dimulakan sehingga sampel tertutup yang mengandungi nombor kod regim rawatan dibuka oleh pesakit sebelum memulakan rawatan. data dikumpul, direkod dan dianalisa dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS). Walaupun pada asalnya seramai 90 orang pesakit wanita disasarkan untuk direkrut ke dalam kajian ini, iaitu 30 pesakit untuk setiap jenis hormon FSH, tetapi di akhir kajian cuma 39 orang pesakit sahaja yang memenuhi kesemua kriteria kelayakan dan bersetuju untuk menyertai kajian ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa purata umur pesakit adalah 28.3 tahun dan majoriti terdiri daripada etnik Melayu (76.9%). Kebanyakan pesakit berpendapatan isirumah di antara RM 5,000 dan RM 10,000 (51.4%). Peratusan pesakit yang memerlukan lebih daripada tiga suntikan untuk menghasilkan folikel matang adalah paling rendah bagi Folliova (41.7%), berbanding Menopur (50.0%) dan Folliova (55.6%). Begitu juga dari segi bilangan folikel yang terhasil, regim folliova (58.3%) menghasilkan lebih banyak folikel (lebih dari tiga folikel) berbanding regim yang lain. Sebanyak 16.7 peratus daripada pesakit yang mengambil suntikan Menopur disahkan hamil, manakala tiada kehamilan berlaku dalam kalangan pesakit yang mengambil Folliova dan Gonal F. Dari segi kos pula, pada masa kajian ini dijalankan, harga tiga suntikan 75IU adalah RM 334.20 bagi Gonal F, RM 187.20 bagi Folliova dan RM 271.20 bagi Menopur. Sebagai kesimpulan, kajian ini menunjukkan bahawa, hp-uFSH (Menopur) memberikan kadar kehamilan yang tertinggi berbanding Gonal F dan Folliova. Tambahan pula, harga Menopur adalah sederhana (affordable) bagi pesakit. Justeru itu, highly purified urinary FSH merupakan pilihan gonadotropin yang baik bagi pasangan dengan masalah subfertiliti yang tidak diketahui sebab (unexplained subfertility) yang menjalani prosedur Permanian Beradas (IUI) dan ia mungkin boleh dijadikan sebagai pilihan utama bagi pesakit yang memerlukan regim stimulasi kombinasi pil kesuburan dan suntikan gonadotropin. Sebagai cadangan, kajian seumpama ini perlu dijalankan dengan saiz sampel yang lebih besar untuk mendapat hasil yang lebih signifikan dan boleh mewakili populasi sebenar.

Item Type: Research Report
Keywords: Perbandingan penggunaan tiga jenis rawatan hormon FSH
Subjects: 500 Natural Sciences and Mathemetics > 507 Education, research & related topics
Division/Agency/State: LPPKN - National Population and Family Development Board, Malaysia > Division of Reproductive Health
Deposited By: Pn. Norzanora Azlina Samad
Deposited On: 27 Jan 2017 08:55
Last Modified: 27 Jan 2017 08:55
URI: http://familyrepository.lppkn.gov.my/id/eprint/656

Actions (login required)

View Item View Item